Tuesday, June 26, 2007

Mari pulang ke kampung!



Ada la dalam 5 hari aku duduk dikampung, berjumpa atuk yang baru lepas pembedahan. Atuk juga merancang untuk melakukan kenduri doa selamat dan kesyukuran diatas pulihnya penyakit atuk.Hempedu atuk dah dibuang oleh doktor disebabkan terdapat berbiji-biji batu dalam perut. Sebelum pembedahan, doktor mengatakan yang peluang atuk tipis untuk meneruskan menyedut udara-udara namun selepas menjalani pembedahan, atuk sihat! Semangat atuk kuat, maklumlah, atuk jenis orang yang kuat berpesatuan. Malahan dia juga orang kuat UMNO dikampung. Apa ada hal!

Aku pulang dengan menaiki bas dari Muar memandangkan kereta masih lagi belum diperbaharui cukai jalan. Dan dengan tidak semena-mena aku berkhayal yang kampungku seperti di Thailand (cukai jalan mana ada kat thailand!). Tapi aku seronok menaiki kenderaan awam. Aku dapat memerhatikan gelagat manusia, gelagat budak-budak sekolah, pasangan kekasih, nenek tua, driver bas, konduktor bas malahan anjing yang secara kurang sopan membuang air kumbahan di tepi tiang. Aku perlu menaiki dua bas untuk sampai ke kampung. Kampungku terletak di hulu batu pahat dan ianya suatu perjalanan yang mengasyikkan dengan diiringi oleh lagu-lagu seven collar t-shirt.

Hari pertama, aku membantu atuk membersihkan halaman rumah yang ditinggalkannya hampir 2 bulan. Habis tanganku bergarit-garit mengangkat timbunan daun-daun berduri. Aku juga dijadikan sarapan pagi oleh nyamuk-nyamuk disekitar rumah atuk. Takpe lah nyamuk, hari tu hari kau, esok lusa sape yang tau?

Hari kedua,aku perlu memberus lantai rumah atuk yang telah berlumut. Terpaksalah aku mencangkung dan membuang lumut-lumut dilantai. Walaupun aku telah menjalani latihan insentif di UPSI, namun pinggangku masih belum boleh mengadaptasi rintangan ini. Mungkin aku banyak ponteng kelas kot.

Ramai saudara-saudaraku turut pulang.Ini membuatkan suasana menjadi tidak sunyi seperti selalu. Mereka akan bercerita dan terus bercerita diselang-seli dengan pecahan ketawa yang mengerikan juga.

Mereka juga bercerita tentang kes yang paling hangat sekali diperkatakan kini iaitu tentang perbicaraan pembunuhan Altantuya yang cute mute itu. Mereka berkata, Razak Baginda pastinya terlepas dari hukuman. ”ye la,orang cakap Razak Baginda ni ade kaitan dengan Menteri, Najib tun Razak!” mereka terus berhujah. Aku terlopong. Berani sungguh mereka mengeluarkan kata seperti itu di suatu kubu kuat kerajaan? Aku sekali berdiam diri. Jika tiada angin, masakan pokok boleh menari-nari?

Dan hari itu, aku pulang ke rumah tidak dengan menaiki kenderaan awam, tetapi dengan menaiki kenderaan ayah.

yay!