Monday, June 23, 2008

Nabil:Fenomena industri lawak masa kini

Kini aku tak perlu lagi menukar kawalan jauh astro hanya untuk melihat cerita-cerita lawak bagi mengaktifkan urat-urat ketawaku. Tak perlu! Aku hanya perlu membaca surat khabar harian tempatan bagi menghiburkan hati

Senario politik Malaysia kini adalah lebih kelakar dari Raja Lawak musim ke-dua lalu iaitu Bang Bil, Lu pikir la sendiri..asamekommmm

Baru-baru ni, Presiden SAPP iaitu Parti Maju Sabah telah menyatakan pendirian parti bahawa beliau akan membuat undi tidak percaya kepada Perdana Menteri kesayangan kita.

Dan selang beberapa hari, Badan Pencegah Rasuah telah membuka kembali kes lama tentang skandal rasuah Yong iaitu presiden SAPP.

Budaya rasuah telah lama selesa dan telah lama terbudaya dalam BN sendiri, itu memang tidak boleh dinafikan.

Dan pembukaan kembali fail rasuah presiden SAPP yang berlaku 5 tahun lalu mengundang persoalan

Kenapa sekarang? Selepas beliau sendiri menyatakan kontradiksi dengan Perdana Menteri kesayangan kita?


Jawapannya mudah;

Sekat segala bentuk yang menentang pucuk pimpinan PM kesayangan kita.

Budaya menyekat demokrasi telah lama wujud, malah ianya menjadi budaya kerja BN sejak zaman mantan PM kesayangan kita

Segala aparatus daulah digunakan bagi melumpuhkan agen-agen demokrasi di bumi Malaysia. Semuanya politik berkepentingan.

Menentang, bermakna bersiap sedia untuk dijatuhkan.

Ketakutan telah lama dicipta, malahan rakyat juga sentiasa ditakut-momokkan dengan pelbagai isu agar kekuasaan sentiasa terpelihara

Mau contoh?

Cari sendiri.


Apabila ketakutan telah menguasai emosi, maka secara semulajadinya manusia itu akan berusaha untuk mencari perlindungan. Dari siapa mereka akan dapatkan perlindungan?

Dari pemerintah!


Seni berpolitik sentiasa nampak bersih, tapi sebenarnyya kotor!


Politik adalah untuk kepentingan individu, bukan untuk kepentingan rakyat.


Dan ketakutan sentiasa dicipta, bagi melindungi kepentingan


Tapi saat ini bukan saat untuk ketakutan meng’hijack’ minda aku, namun saat ini adalah untuk aku dan kamu sama-sama bergelak melihat jenaka politik yang dipentaskan di pentas politik berkepentingan!


Sasa itu badanku

satu…

dua…

tiga..

empat..

sambil aku meneruskan kiraan, aku bernyanyi-nyanyi sebagai langkah memberi motivasi utuh pada diriku

“Jika kau fikirkan kau boleh,

kau hampiri kejayaan,

jika kau fikirkan kekalahan,

kau hampiri kegagalan

Aku teruskan kiraan…

sepuluh…

sebe….

errr… aku tak mampu teruskan kiraan, malahan aku juga tak mampu teruskan senaman sit-up yang sejak dari semalam aku lakukan sebelum menonton bola. Ianya adalah sebahagian usaha dan tekadku sendiri bagi membuang lemak-lemak yang telah sarat diakumulasi pada dasar perutku.

Pagi itu semasa di kantin, ketika sedang menghirup mee kari ala-ala lauk semalam

”Kenapa kamu tak jadi polis?”

Makcik kantin menunjukkan sifat ramah-mesra bersopan santun amalan mulianya kepadaku

Belum sempat aku menjawab, dia memintas:

”Kamu kalau jadi polis, bagus. Badan kamu tu elok jadi polis!”


Aku senyum


”Betul makcik cakap, badan macam kamu tu elok jadi polis. Sasa!”

”Macam anak sedara makcik tu, badan macam kamu la. Dia jadi polis..bla bla bla”


Dialog makcik seterusnya gagal ditangkap oleh gegendang telingaku, dan neuron-neuron otakku juga gagal memproses dialog seterusnya apabila aku terus-terusan saja mengelamun dan tersengih menganalisis dialog awal makcik kantin.

Harap maklum, makcik kantin itu memuji badanku yang dikatakan sasa!

Dan malam itu aku tidak menonton bola, malahan senaman sit-up terus saja aku humban jauh-jauh.

Maklumlah... aku kan berbadan sasa!

Tuesday, June 17, 2008

Kembali ke sekolah rendah setelah 12 tahun
Aku perlu menjalani Rancangan Orientasi Sekolah (ROS) di sebuah sekolah rendah berdekatan dengan rumah. Apa tu ROS? Ianya adalah suatu program dimana aku perlu ke sekolah seperti seorang guru dan menjalani kehidupan di sekolah selama 2 minggu. Diakhir program ini, aku perlu menyiapkan suatu folio tentang sekolah itu. Bagaimana ianya berfungsi, carta organisasinya, pelan sekolah, misi sekolah dan pelbagai lagi. Ianya sebagai langkah awal pendedahan kepada suasana sekolah kepadaku. Maklumlah, aku kan guru sukan!

Aku takut sebenarnya.

Lebih tepat lagi, ’malu’

Ya, aku sedar profesion dan bidang yang aku ’ter’ceburi ini adalah suatu bidang yang memerlukan aku –sebagai seorang guru- berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat, dan dari pelbagai lapisan umur dan dari pelbagai latarbelakang yang berbeza-beza. Oleh itu, ’malu’ adalah sesuatu yang perlu aku letupkan dari dalam perasaan dan emosiku. Jika perlu, letupkan dengan C4 seperti berkecainya badan Altantuya sedikit masa dulu.

Pagi itu –setelah beberapa lama tidak bangun pagi-, aku gagahi diriku untuk bangun dan dengan usaha yang gigih, dapat jua aku lepasi halangan pertama pagi itu iaitu menghadapi kesejukan air dibilik air. Bangga dengan pencapaian pertamaku pagi itu, aku terus optimis akan setiap jam berikutnya.

Dengan sedikit wax di rambut, beberapa semburan minyak wangi, aku langkahi Sekolah Kebangsaan Perempuan Abu Bakar (1) dengan harapan guru besarnya adalah semanis bunga ditaman larangan. Ceh!

Destinasi pertama adalah ke pejabat sekolah berkenaan,menantikan Guru Besar yang sedang menghadiri perhimpunan. Aku disambut dengan semburan nyamuk di pejabat. Terus benakku membuat hipotesis dan telitian empirikal ringkas tentang subsidi ubat nyamuk sekolah telah disalahguna oleh beberapa pihak tidak bertanggungjawab lalu semburan anti-serangga murah digunakan (berdasarkan baunya yang menyesakkan). Terlalu superficial, namun anggap sahaja ianya sebagai hiburan ringan pagi itu.

Sekolah Rendah itu tidak sebesar mana. Hanya terdapat sebuah bangunan tiga tingkat, tanpa dewan.

Terdapat juga seorang pelajar UPSI yang juga memulakan ROSnya disekolah itu. Aku lega kerna keadaan ini memungkinkan aku untuk terus saja mencopy laporan tentang sekolah berkenaan.Tidak, berdasarkan garis standard kecantikan masyarakat kini, dia adalah diperingkat sedikit bawah dari paras pertengahan.

Selesai saja perhimpunan dan selepas puas menyedut udara-udara semburan anti-serangga, aku dipanggil oleh Guru Besar untuk melaporkan diri memandangkan seorang lagi pelajar ROS telah melaporkan diri pada minggu lepas. Optimistik awal pagi tadi berkecai apabila aku diherdik Guru Besar kerna tidak melaporkan diri lebih awal. Aku tidak terus kecewa, lalu bertekad untuk datang seawal kokokan ayam pertama esok!

Keluar saja dari pejabar Guru Besar, aku disapa oleh seorang guru. Rendah, berbadan agak gempal. Sungguh ramah denganku. Bertanya itu dan ini dengan slang manglish. Dari situ aku dapat mengagak yang beliau merupakan guru bahasa inggeris disekolah berkenaan. Apa yang dibualkan? Tentang kes Pulau Batu Putih dimana Malaysia berputih mata. Tapi kini, bukan setakat Malaysia saja yang berputih mata, malahan aku juga telah letih mata melayan bualan cikgu tersebut.

”Singapore bagus, bersih. Rakyat Malaysia mati pada lingkungan umur 60, tetapi singaporean pada umur 80. Singapore menghadkan produksi anak dan melimitkan bilangan anak satu keluarga, singapore chantek, Malaysia tak chantek, bla bla bla, yada yada...” Lalu perbualan kami (lebih tepat lagi -bebelan) terhenti apabila disapa oleh kakak sapu sampah;

”Sudah la cikgu oi..” sambil menunjukkan isyarat jari berpusing di kepala kearahku.

”Tak payah layan, cikgu ni tak betul sikit”

***

Sekolah tersebut hanya memliki 5 kakitangan lelaki. Seorang tukang kebun, seorang juruteknik komputer, dan 3 guru tetap di sekolah ini. Guru-guru lelaki tersebut dengan beraninya mengambil langkah keluar dari bilik guru dan lepak di makmal komputer memandangkan rasa kurang bebas di bilik guru yang secara keseluruhannya ditawan oleh guru perempuan.

Dan aku sebagai guru pelatih lelaki, dengan beraninya saja turut serta lepak di makmal komputer bersama-sama guru lelaki lain (Atas arahan Guru HEP sebenarnya)

Sebelum hadir kesekolah, aku bertekad untuk melupakan seketika Winston Lightku sementara disekolah. Sudah semestinya akan kantoi kalau aku merokok ditandas memandangkan ianya sekolah perempuan, sekolah rendah dan majoritinya perempuan. Lagipun, aku masih lagi kurang pasti tentang siasah guru lelaki disekolah itu. Namun ternyata tekadku tidaklah selama mogok lapar Mahatma Ghandi semasa memprotes tentang stratifikasi sosial masa itu, malahan ianya juga tidak dapat menandingi lamanya kemandulan badan kehakiman di Malaysia apabila juruteknik itu mempelawa aku merokok bersama selepas rehat. Tanpa lebihan soalan diunjur, terus saja kami menyedut asap-asap itu ditandas guru lelaki. Yay!

Seorang guru lelaki tiada hari ini, yang ada cuma juruteknik, seorang guru komputer berbangsa Cina dan seorang Ustaz.

Aku hanya tersenyum dan bergelak dalam hati saja apabila guru komputer tersebut –disertai emosi-emosi ganas- mengutuk dan membuat analisis ringkas tentang kerajaan tercintaku. Ternyata guru itu tersangat marah dengan kondisi semasa masyarakat di Malaysia. Satu kata yang aku ingat;

”Yang kaya bertambah kaya!”

Lalu dengan tenang aku kemuka guru tersebut dan berkata;

Sir, what do u expect in this capitalist system? Its all about money!. Go study about dialectic materialism and u will understand more

Oke, tiga baris ayat diatas aku reka sendiri sila jangan ambil serious.

***

”Percintaan kamu ni tak la sukar sangat. Kadang-kadang gaduh, kadang-ladang baik. Tengah-tengah je la”

Ustaz menunjukkan sedikit ilmu tilik-tilik nasibnya kepadaku. Aku hanya menggangguk seperti terkejut, sebagai menghargai penat lelah analisis perhubungan percintaan aku.

”Betul? Hahaha..Ustaz tau la sikit-sikit. Tapi jangan percaya, tak diterima amalan selama 40 hari nanti tau!”

Ustaz tidak berhenti disitu

”Tengok tapak tangan”.

Aku hulur.

”Hah, pelajaran dan ekonomi bersimpang siur, masing-masing naik keatas”

Sekali lagi memek muka terkejut dibentuk olehku.

”Jangan percaya sangat, tapi buat sebagai panduan je”

Ustaz, macam mana saya nak jangan percaya lalu buat panduan? Ustaz suruh saya buat mana satu ini? Kalau tak percaya, macam mana nak jadikan panduan?

***

Sebelum pulang, aku sempat lagi berbual dengan cikgu –bahasa-inggeris-taksub-singapore. Setelah cikgu itu berlalu pergi, tiga orang murid menyapaku

”Bang, cikgu itu wayar hijau dia short sikit. Jangan layan sangat”
Dan perbualan itu diakhiri dengan gelak sinis mereka.

Dan tika itu, baru aku sedari sekolah ini bukan calang-calang sekolah, sekolah ini penuh dengan para-para psycho masyarakat pertengahan yang semakin dihimpit tekanan hidup di Malaysia-ku terchenta. Keterujaan untuk kembali semula esok terus mekar. Perasaan malu terus saja diatasi dan berharap aku dapat belajar dengan lebih lagi semasa aku menjalai ROS disekolah ini. Bukan, aku tidak bermaksud aku dapat belajar tentang struktur sekolah, dan bagaimana sekolah berfungsi, tetapi berharap agar aku dapat belajar tentang apa pendefinisian hidup bagi masyarakat pertengahan yang tertekan dengan kondisi hidup yang memuncak.

Tatkala aku melangkah keluar dari sekolah, seorang guru menyapaku;

”Pukul 2 nanti datang meeting tau. Ada meeting koko. Jangan tak datang tau”

Aku tersenyum dan diakhiri dengan anggukan kepala, diiringi irama grind dalam perutku dan sisa-sisa ngantuk menonton bola semalam!